Wednesday, January 16, 2013

Roti Blueberry Kastard

Saya nak update tentang roti yang satu ni agak berkurun juga,  ambil masa ya lama. Ya Allah..... masa asyik tak cukup je. Punyalah tak bersyukur hamba Allah yang satu ini. Astaghfirullah.....


Roti ni saya buat dah lama, cuma updatenya baru sekarang. Macam biasa la... alasan biasa... sibuk! Roti blueberry kastard ni saya dah pun letak dalam senarai jualan harian saya. Alhamdulillah, ramai yang gemarkannya. Setiap gigitan terasa intinya yang sedap itu.

Mari lihat bahan2 dan cara membuatnya....

Bahan-bahan doh roti:

500gm tepung berprotien tinggi (tepung roti)
2 sdb tepung susu
100 gm gula halus
1 sdt garam
1 sdt bread softener
1 biji telur
250 ml air bertapis (kalau uli guna tangan gunakan air suam)
11 gm yis
2 sdb mentega lembut

Hiasan untuk roti blueberry kastard:
Jem blueberry
Pes kastard


Cara
- Saya guna bread maker (BM), jadi saya masukkan je semua bahan dalam BM, dan biarkan BM jalankan operasinya selama 1 jam 30 minit.
- Untuk yang tiada BM, caranya, satukan air suam dengan yis. Biarkan seketika.
- Satukan bahan2 kering seperti tepung, gula, susu tepung, garam, bread softerner dalam satu bekas. Sebatikan.
- Masukkan telur, gaul rata, dan masukkan air suam yang telah bercampur dengan yis tadi. Adun sehingga menjadi doh kasar.
- Masukkan mentega, dan terus menguli sehingga menjadi doh yang lembut, licin dan anjal. Biasanya, untuk menguli menggunakan tangan, tempoh menguli saya ialah 45 minit, atau kadang2 sehingga satu jam. (Pitam!)
Tip dari saya: Masukkan bancuhan doh tu dalam plastik yang bersih, dan lenyek2kan doh tu sehingga dapat seperti doh yang kita kehendaki. Pastikan benar2 anjal dan licin. Bila uli dalam plastik, doh lebih bersih dan lembut, kerana kita tidak perlu bermain bermain dengan tepung. Tangan pun bersih jer. :-)
- Biarkan doh naik sekali ganda, biasanya lebih kurang 1 jam.
- Selepas 1 jam, tumbuk2kan doh untuk membuang angin. Dan bahagikan doh, beratnya 60gm. Untuk bancuhan ini boleh dapat lebih kurang 15-16 biji roti.

Untuk inti kastard, boleh dibuat dengan 2 cara. Boleh pilih mana satu cara yang mudah bagi anda.

Cara pertama:
Bahan A:
3 biji telur kuning
6 sdb gula (boleh kurangkan, saya kurangkan 4-5 sdb sahaja)
100ml susu segar

Bahan B
3 sdb tepung protien rendah
Bahan C
200ml susu segar
Bahan D
1/4 esen vanilla

Cara membuatnya:
- Gaulkan semua bahan A dalam periuk kecil, kemudian bubuh bahan B dan adun sebati.
- Panaskan periuk itu di atas api yang perlahan.
- Masukkan bahan C dan kacau sehinggapes menjadi pekat dan berbuih.
- Tutup api dan masukkan bahan D, kacau. Biarkan ia sejuk.

Cara kedua:
500ml susu segar
500ml air
5 sdb gula
2 keping keju slice (optional)
6 sdb tepung kastard
1/2 sdk esen vanilla

Cara membuatnya:
- Satukan semua bahan dalam periuk yang kecil.
- Panaskan semua bahan dengan api yang perlahan.
- Sentiasa dikacau sehingga pes menjadi likat dan berkilat.
- Tutup api, sejukkan.

Cara membuat roti blueberry kastard.
- Doh yang telah dibahagi 60gm, dicanai nipis ukuran lebih kurang 15cm panjang dan 10cm lebar.
- Sapukan pes kastard pada permukaan doh.
- Gulung doh dari atas ke bawah secara sekata.
- Masukkan doh yang telah siap di atas paper cup panjang, atau aluminium foil yang telah dipotong kecil. Biarkan seketika doh naik kembang sehingga 2x ganda.
- Apabila doa sudah kembang, masukkan jem blueberry dan lebihan pes kastard ke dalam plastik yang berasingan dan gunting sedikit hujungnya. Paipkan jem blueberry dan pes kastard ke atas permukaan doh roti.
- Bakar roti pada suhu 180 - 200 darjah celcius (bergantung pada oven masing-masing) sehingga masak kekuningan.

Roti pertama kali buat.... tak guna papercup pun.

Untuk jualan...... 

Sekian untuk kali ini....... Entry akan datang juadah lain pula.

Tuesday, January 1, 2013

Triffle Buah - Laici & Mangga


Salam penuh rasa syukur. Hari ini hari pertama di tahun 2013. Selamat tinggal 2012......

Anak2 saya sangat menggemari triffle. Pertama kali makan triffle, makan di rumah adik ipar masa ada jamuan. Saya pulak jenis malas nak buat. Tapi lepas makan kat rumah adik ipar tu, rasa sedap pulak triffle ni. Segar sekali dengan rasa buah. Dan di sebabkan anak2 pun suka, maka saya buat jugaklah sendiri. Tak susah mana pun. Yang penting buang M, seru R. Maka jadilah triffle yang enak dan segar.

Buat adik2 yang baru nak belajar cara2 membuat triffle, mari..... skroll down! Yang dah pakar tu, tak yah tengok pun tak ngape eh.



Mari kita mulakan.....
:
:
:
:

 Mulakan dengan menyusun swiss roll ke dalam mangkuk. Siramkan beberepa sudu sirap daripada tin buah2an koktail atau tin laici. Saya gunakan buah laici dalam tin sebab tu je yang ada kat rumah. Tujuannya, supaya kek kita tu akan lembap. Seeloknya gunakan mangkuk yang jernih supaya hasilnya cantik. Kalau ada mangkuk kaca yang mahal, guna je. 

 Tuang sos kastard di atas swiss roll. 
Cara membuat sos kastardnya : 1 tin susu cair, 1 tin air biasa, 4 sdb gula dan 5 sdb tepung kastard. Masukkan semua bahan dalam periuk, kacau rata. Kemudian, masak dengan api yang perlahan sehingga bancuhan kelihatan berkilat dan berat. Dan selepas itu, tuang je sos kastard tadi ke atas swiss roll.

 Susun buah2an pilihan anda. Macam saya ni, buah yang ada dalam peti sejuk cuma buah mangga dan lici dalam tin. Jadi, saya gunakan tu je. Kalau dapat buah2an yang pelbagai warna, alangkan baiknya. Triffle anda akan kelihatan lebih cantik dan berseri. Buah kiwi, strawberry, peach.... Atau boleh juga gunakan buah2an koktail dalam tin tu.

 Selepas susun buah, tuangkan jelly ke atasnya. Masak jelly mengikut arahan dalam kotak. 
Saya gunakan Jelly Krystal jenama NONA perisa rasberi. 
Pada saya jelly jenama ini paling terbaik dan sedap. 
Terpulang pada anda mahu gunakan jenama apa.
Dan akhir sekali, biarkan jelly membeku sambil disejukkan dalam peti sejuk

Nikmati hasil triffle anda di saat cuaca yang panas.....
Mmmmmmm, memang mengasyikkan.

Mudah saja membuat triffle ni. Semua orang boleh membuatnya. Saya suka..... Anak2 pun suka.

Thursday, December 13, 2012

Cakoi & Sos Kastard Manis

Hai.... Selamat malam dan Assalamualaikum.
Suka makan cakoi? Semua orang suka rasanya. Anak2 saya memang gemarkan cakoi. Pantang nampak orang jual tepi jalan, mesti minta dibelikan. 4 seringgit, kan? Ke 3 seringgit ye? Cakoi memang sedap, lagi2 makan bersama sos manis. Tapi.... sos manis yang selalu beli tu, alahai..... macam kedekut tepung je si penjual. Apa la salahnya lebihkan sedikit tepung kasi pekat sikit. Bila sosnya pekat, bila cakoi dicicah barulah terasa uuummmppphhhhh, kan. Ini tak, cicah cair je. Tak melekat pun kat cakoi.

Hari ni buat cakoi. Belajar2 nak buat sendiri. Mencari resepi.... owh mudah amat. Lagi2 dengan adanya robot si tukang uli doh. Mudah amat. Tak penat langsung.....


Cakoi
Sumber : Kongsi Resepi

Bahan-bahan:
400gm tepung gandum ~ di ayak
1/2 soda bikarbonat ~ ayak bersama tepung
1 cawan air
1 sdb marjerin ~ dicairkan
1 sdk garam
1 sdb gula
1 sdb susu pekat manis
1 biji kuning telur
2 sdk yis segera

Minyak untuk menggoreng

Cara-cara membuatnya:
1. Satukan air, marjerin, garam, gula, susu pekat manis, kuning telur, yis dan soda bikarbonat dalam mangkuk besar . Kacau agar sebati.

2.Masukkan tepung sedikit demi sedikit ke dalam bancuhan diatas.

3. Ulikan sehingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat dijari .Biarkan selama setengah jam .bekas berisi doh hendaklah dibalut di dalam beg plastik yang bersih.

4. Canaikan doh setebal 1/2 sm, kalau boleh dalam bentuk segiempat tepat.

5. Potong kepada kepingan bersaiz 1 inci.

6.Rendamkan lidi di dalam air . Tekankan lidi basah tersebut di atas setiap kepingan 1 inci tersebut .

7. Cantumkan dua kepingan dengan bahagian yang bertanda lidi bertemu antara satu sama lain.

8. Panaskan minyak. Tarik kedua-dua hujung cakoi dan goreng keperangan.

* Saya menggunakan khidmat robot untuk menguli. Bread maker la tu.... Masuk semua bahan ikut urutan BM, dan tekan SET 8 DOUGH. Biarkan BM melakukan kerja. Dan terus sambung pada langkah 4. Sementara BM buat kerja, bolehlah siapkan sosnya.


Sos Kastard Manis

Bahan-bahan
1 1/2 sdb tepung kastard
1 1/2 cawan santan
1/2 cawan air biasa
5 sdb gula
2 helai daun pandan
sedikit pewarna hijau
secubit garam
- Masukkan semua bahan dalam periuk. Masak atas api sederhana, kacau sehingga gula hancur dan bancuhan agak likat dan berkilat. Kalau bancuhan terlampau likat, boleh tambah air sikit. 

Selamat mencuba la yer....
Sekian buat waktu ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...