Showing posts with label Kuih. Show all posts
Showing posts with label Kuih. Show all posts

Saturday, July 2, 2011

Onde-onde Buah Melaka / Bebola Tepung Pulut

Inspirasi dari kak Sue, tengok kat blog dia, tiba-tiba rasa teringin amat membuatnya. Dulu masa zaman muda remaja pernah beberapa kali tolong ummi saya buat kuih ni. Terutama bila bulan Ramadhan. Lepas tu, bila dah berumahtangga, buat bersama dia yang saya sayang, pertama kali buat masa tu. Masa tu hidup baru berdua, buat banyak2, dan beri pada jiran sebelah rumah sebab anak jiran tu ramai. Kira lama juga saya tak menggentel kuih ni....

Sehinggalah pagi tadi, rasa teringin pula. Selongkar dapur, bahan semuanya cukup. Terus jalankan operasi seorang diri. Kebetulan suami tiada, jadi terpaksalah menggentel seorang diri dengan ribut2 anak2 yang ramai. :-)


Bahan-bahan:
  • 3 cawan tepung pulut (nak menghabiskan stok tepung, dapat 3 cawan je)
  • Jus pandan (4 helai daun pandan dikisar bersama 1 cawan air)
  • Secubit garam
  • Pewarna hijau epal
  • Air secukupnya
  • Gula melaka /gula kabung
  • Kelapa putih
Cara-cara membuatnya:
- Panaskan air dalam periuk.
- Bancuhkan tepung pulut dan jus pandan, pewarna pandan, garam dan air secukupnya. Uli sehingga tepung tersebut boleh digentel.
- Cubit sedikit doh, gentel2kannya, dan letakkan gula kabung / gula melaka di tengah2 doh. Bulat2kan doh san rebus doh dalam air yang betul menggelegak.
- Apabila doh telah timbul, bermakna ia telah masak. Angkat dan toskan seketika.
- Gaulkan ia terus ke dalam kelapa putih yang telah dicampur dengan sedikit garam. Siap dihidang....

Kuih Kasuwi Pandan

Lama betul tak memasak....:-) Lama ye blog ini menyepi,, bukan bermakna lama saya tak memasak, tapi cuma masak yang cincai2 jer. Sebab mood sekarang ni, swing sikit, jadi nak update blog pun, macam malas. Tapi, saya update juga la sebab tak mahu blog ni terus menyepi....

Saya buat kuih ni, sebab dah bosan dengan variasi yang biasa. Jadi ubah suai sikit supaya ada kelainan rasa, jemu juga kalau selalu sangat makan yang biasa tu. :-)

Kuih Kasuwi Pandan
Bahan-bahan:
(1) 2 cawan air
(2) 2 cawan air
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung ubi
11/2 cawan gula pasir (boleh dikurangkan)
2 sdb susu pekat
Perisa pandan / pandan emulco
Sedikit pewarna hijau
2-3 helai daun pandan
Secubit garam
Kelapa putih (utk gaul)

Cara-cara membuatnya:
- Masak air gula (1) bersama gula pasir dan daun pandan, ketepikan.
- Dalam mangkuk lain, bancuh air (2) bersama tepung gandum dan tepung ubi sehingga sebati. Masukkan secubit garam, gaul lagi sehingga rata.
- Satukan air gula dengan bancuhan tepung tadi.
- Masukan susu pekat, perisa pandan dan pewarna hijau, dan gaul lagi sehingga betul2 sebati. (Saya kisar guna blender sebab nak cepat)
- Tapiskan bancuhan ke dalam jag dan tuang dalam acuan. (saya gunakan acuan kuih lompang, comel je jadinya. Lebih mudah acuan tersebut disapu dengan sedikit minyak supaya apabila kuih sudah masak, mudah untuk keluarkannya).
- Kukus kuih antara 5-10 minit. Kalau gunakan loyang besar, tambahkan masa kukusan lebih kurang 20-30minit.
- Setelah kuih masak, biarkan ia sejuk seketika, baru keluarkan dari acuan. Atau kalau menggunakan loyang, biarkan kuih sejuk sebelum memotongnya.
- Gaul kuih bersama kelapa putih yang telah dicampurkan dengan sedikit garam Siap untuk dihidangkan.....

Siap untuk dihidangkan

Selamat mencuba!

Monday, June 20, 2011

Kuih Lapis Coklat

Inspirasi dari Kak Ummi Home Sweet Home, saya amat teringin mencubanya. Lain sikit dari kuih lapis yang putih merah tu, sebab kali ni menggunakan coklat dan sedikit perasa cappucino.


Bahan-bahan:
Bahan A: (Loyang bulat 5 inci) - saya gunakan acuan kuih apam, comel2 jer.

  • 2 cawan santan
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 2 sudu makan tepung beras
  • 2 sudu makan tepung kastad
  • 1 sudu teh garam
Bahan B:
  • 1 sudu teh pes coklat/emulco
  • 1 sudu makan serbuk koko
  • 1 sudu makan serbuk nescafe (*akak letak 1/2 sudu mkn je)
  • 1/4 cawan air suam
# bancuh bersama bahan B di atas.
Bahan C:
  • 1/4 cawan air suam

Cara membuatnya :

  1. Panaskan kukusan.
  2. Gaulkan semua bahan A hingga sebati. Tapiskan. (*akak blend jek semua then tapis).
  3. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian.
  4. Masukkan bancuhan bahan B dalam satu bahagian. Kacau rata.
  5. Biarkan satu bahagian lagi dengan warna asal dan masukkan bahan C. Kacau rata.
  6. Masukkan satu senduk (*akak sukat 1/3 cawan) adunan coklat ke dalam loyang. (*akak panaskan sebentar loyang selepas disapu sedikit minyak). Kukus selama 5 minit.
  7. Lapiskan pula dengan adunan asal (plain) dan kukus lagi selama 5 minit.
  8. Lapiskan berselang seli hingga habis. Untuk lapisan akhir akak kukus lama sedikit lebihkurang 10 minit. (*untuk kukusan akhir juga akak balut penutup kukusan dengan kitchen towel agar lapisan atas tidak terkena wap).
  9. Biarkan kuih benar2 sejuk pada suhu bilik baru dipotong.

Tuesday, June 14, 2011

Kuih Ketayap

Terlebih rajin membuat kuih ketayap atas permintaan anak ke-2, Amniy.
 Dihidangkan bersama minum petang.


Bahan adunan tepung:
180 gm tepung gandum
1 biji telur
Sedikit garam
1 cawan air daun pandan
Air biasa secukupnya

Bahan - bahan inti :
50 gm kelapa parut
100 gm gula putih / gula melaka
120 ml air biasa
1 helai daun pandan
Sedikit garam
Sedikit pewarna kuning (kalau guna gula putih)

Cara-cara membuatnya:
Untuk membuat inti:
1. Masak gula air, garam dan daun pandan sehingga gula benar-benar hancur dan berbuih.
2. Kemudian, masukkan kelapa parut dan kacau hingga sebati dan kering. Ketepikan.

Untuk membuat pan kek:
1. Campurkan tepung, telur, garam, air pandan dan air biasa dalam sebuah mangkuk, kacau sebati.
2. Kisarkan semua bahan supaya ia benar2 hancur dan sebati, kemudian tapis.
3. Tuang sesenduk adunan ke dalam kuali leper untuk memesak sekeping pan kek.
4. Bila pan kek sudah masak, letakkan di atas pinggan leper.
5. Letakkan inti kelapa pada pan kek tadi, dan gulung.


Sunday, June 12, 2011

Kuih Gertas

Saya tak tahu nama kuih ni apa. Tapi, kata MIL saya, orang Melayu panggil kuih gertas. Dalam bahasa Jawa, ia dipanggil kuih kemplang. Pelik,kan namanya? Ini kuih orang lama, saya suka rasanya yang liat2 lembut... Sedap. Nak2 pulak ada rasa lemak masin di dalam dan manis di luar.


Bahan-bahan :
2 cawan tepung pulut
2 cawan tepung gandum
1 cawan nasi - dikisar bersama 1/2 cawan air sehingga halus
Sedikit kelapa parut
Sedikit garam
Air secukupnya

Cara-cara membuat :
- Satukan semua bahan dalam mangkuk. Kalau air dari kisaran nasi tadi masih tidak cukup, boleh tambah sikit-sikit. Uli adunan sehingga boleh membentuk. Bentukkan ia ikut seperti kehendak kita.

- Perap doh yang telah dibentuk dalam 1/2 - 1 jam. Tujuan perapan adalah, supaya ketika kita menggoreng kuih ini ia tidak meletup2 di dalam kuali. Kalau terus digoreng, kita akan dapati kuih tersebut meletup kerana adanya tepung pulut.

- Goreng kuih dalam minyak yang panas.

- Selepas digoreng, boleh disira kuih seperti mana kita menyira kuih keria.

- Cara menyira kuih : Masukkan sedikit air dalam kuali, dalam 1/2 cawan, dan masukkan 3-4 sudu besar gula. Masak sehingga air gula kelihatan berbuih dan likat. Kemudian, masukkan kesemua kuih yang telah digoreng. Gaulkan ia dengan pantas. Terus tutup api, dan teruskan menggaul kuih sehingga gula tadi kering dan melekat pada kuih.



Selamat mencuba resepi kuih warisan lama :-)

Monday, June 6, 2011

Kuih Kasuwi lagi....

Dah pernah update resepi kuih ni dulu... Tapi baru je semalam buat lagi sebab memang dah berkurun tak membuatnya...... ni ha... bersama resepinya sekali.
Kuih Kasuwi

Bahan-bahan 

4 cawan air
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung ubi
2 cawan gula merah
2 sd susu pekat
kelapa utk digaul bersama



caranya:

A. bancuhkan 2 cawan air bersama tepung gandum dan tepung ubi. kacau sebati.
B. panaskan 2 cawan gula merah bersama 2 cawan air. kacau sampai gula merah hancur.
- campurkan bahan A dan bahan B dalam satu bekas, kacau rata.
- masukkan susu pekat, dan kacau lagi.
- tapiskan dalam loyang, dan kukus selama 15-20 minit.
bila dah masak, sejukkan, potong ikut suka dan gaul bersama kelapa yg dah dicampurkan dengan secubit garam.

Wednesday, May 25, 2011

Bingka Keledek

Bahan-bahan:
2 cawan gula
2 biji telur
2 1/2 cawan tepung gandum
600 gm keledek (boleh diganti dengan labu, atau keledek kuning. saya guna keledek putih)
500 ml santan / susu cair / susu segar
sedikit perasa vanila

Cara:
- Keledek direbus hingga lembut, kemudian lenyekkan hingga lumat.
- Masuk semua bahan dalam pengisar, dan kisar bahan sehingga halus.
- Masukkan bahan dalam loyang yang terlah disapu dengan marjerin/mentega.
- Bakar pada suhu 200 darjah calcius,  selama 40 minit hingga 1 jam.
- Tunggu sejuk, baru potong untuk dapatkan kuih yang solid n firm!

Tuesday, March 15, 2011

Hasil Keledek

Kuih Keria
Bahan-bahan :
1 kg ubi keledek - di rebus sehingga lembut, dan dilenyek lumat
sedikit garam
3 cawan tepung gandum

Cara membuatnya:
Setelah keledek dilenyek lumat, gaulkan bersama tepung gandum sedikit demi sedikit. Jangan lupa sedikit garam tadi. Gaul rata, dan bentukkan ia.
Goreng, dan sirakan dengan gula.

Cucur Badak

Cara yang sama dengan membuat kuih keria, cuma masukan inti ke dalam doh kuih. Dan goreng macam biasa.
Cara membuat inti :
Kelapa
Bawang merah
Bawang putih
sedikit halia
sedikit cili boh
udang kering
serai - dicincang
bahan perasa
- Semua bahan dikisar halus kecuali kelapa.
- Masukan sedikit minyak ke dalam kuali, dan tumis bahan kisaran, kemudia masukan kelapa tadi.
- Kacau rata, sehingga inti ini masak. Perasakan dengan garam dan gula.

Monday, March 14, 2011

Kuih Cara Kaya

Dah terlampau lama tak update resepi yang ingin disimpan..... rentetan masalah teknikal yang tak boleh dielakkan. Akhirnya, hidup juga blog ini.....

Nak simpan satu lagi resepi di sini.....  kuih tradisional, iaitu kuih cara. Biasanya digunakan gula sebagai perasa, atau pun lauk-pauk. Kali ini saya telah mengubah sedikit rasa kuih cara ini. Iaitu, inti kaya.

Kuih Cara Kaya
 Bahan-bahan:
3 helai daun pandan (dikisar bersama 1 cawan air)
2 cawan tepung gandum
2 cawan air ( air yang ini dicampur dengan air kisaran daun pandan tadi, menjadi 3 cawan semuanya)
1 cawan santan (saya gunakan santan serbuk je, 1 paket)
1 biji telur
sedikit pewarna hijau
sedikit serbuk penaik - optional
Kaya sebagai inti

Cara membuatnya:
1. Tapis air pandan yang telah dikisar
2. Campurkan semua bahan dalam sebuah mangkuk, dan pukul sehingga semuanya sebati. Nak gunakan blender pun boleh, nak guna mixer pun boleh.
3. Tapis bancuhan ke dalam sebuah jag. Saya gunakan jag sebab senang nak tuang dalan acuan ketika masak nanti. Campurkan sedikit minyak masak supaya kuih nanti tak melekat pada acuan.
4. Tuangkan bancuhan sedikit dalam acuan cara, dan letakan inti kaya. Saya telah masukkan kaya ke dalam plastik, dan gunting sedikit bahagian bucu plastik, dan hanya picit inti kaya ke dalam kuih tadi. Ingat, letakkan inti ketika kuih ini masih cair!

Sunday, December 12, 2010

Kuih Kasuwi

Ini resepi makcik suami saya, dan saya telah beberapa kali mencubanya.


Kuih Kasuwi sebelom dipotong


Setelah dipotong dan disalut kelapa
Bahan-bahan untuk membuat kuih ini:

4 cawan air
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung ubi
2 cawan gula merah
2 sd susu pekat
kelapa utk digaul bersama.

Caranya:

A. bancuhkan 2 cawan air bersama tepung gandum dan tepung ubi. kacau sebati.
B. panaskan 2 cawan gula merah bersama 2 cawan air. kacau sampai gula merah hancur.
- campurkan bahan A dan bahan B dalam satu bekas, kacau rata.
- masukkan susu pekat, dan kacau lagi.
- tapiskan dalam loyang, dan kukus selama 15-20 minit.
bila dah masak, sejukkan, potong ikut suka dan gaul bersama kelapa yg dah dicampurkan dengan secubit garam.

jangan lupa membaca Bismillah sebelum makan.....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...