Saturday, July 16, 2011

Donat Pedas Manis

Beberapa hari lepas baru je buat donat. Tapi salut gula je. Hari ni, anak2 saya minta buat donat lagi. Buat jugak la, walaupun tahu, donat ni makanan kureng sihat. Jangan makan banyak sangat udah la. Kali ni, donat saya lain sikit. Salut dengan sambal pedas manis. Ada jugak buat salut gula mcm biasa tu, utk Sofie dan Hijaz.


Bahan-bahan untuk buat doh donat ni, boleh ke SINI atau ke SINI. Tapi, untuk menghasilkan donat yang gebu dan lembut sampai petang (kalau buat pagi la...) gunakan marjerin. Kalau gunakan minyak, pada saya, donat dah tak lembut bila menjelang petang. Jadi untuk resepi kali ini, saya gunakan 2 1/2 sudu besar marjerin dan 2 sdk yis kering. Gaulkan dalam tepung sekali dengan 2 sdb susu pekat, juga secubit garam baru tambah air sedikit demi sedikit. Sebolehnya, masa uli doh tu, biar air lebih sikit, dan kita ambik tepung sikit2 utk membentuk. Saya bentukkan donat guna mulut cawan yang kecil, dan lubang tengah tu gunakan buku benang. Lepas dan bentukkan doh donat, biarkan selama 1 jam supaya donat kembang dan naik. Oooopppsss, lubang tengah donat jangan ditebuk awal ye, tebuk ketika kita nak menggoreng. Sebab, kalau tebuk awal, nanti, doh akan mengembang, dan lubang akan tertutup semula. Mudah je donat saya!


Bahan untuk sambal pedas manis:
4 ulas bawang merah
2 ulas  bawang putih
1 sdb cili coh
3 sdb sos cili
1 sdb sos tiram
3 1/2 sdb gula
secubit garam

Caranya :
~ Tumbuk bawang merah dan bawang putih.
~ Tumis bawang yang telah ditumbuk dalam minyak yang sedikit, masukkan cili boh, sos cili dan sos tiram. Tambahkan sedikit air, kacau rata.
~ Masukkan gula dan garam, kacau rata sehingga sambal kering.
~ Masukkan donat yang telah digoreng, tutup api, dan gaul rata sehingga sambal melekat rata pada donat.
~ Hidangkan.... memang sedap!

Saya tak sangka anak2 lelaki saya sukakan donat sebegini. Ikhwan makan donat salut gula tu 2 ketul je. Tapi, donat pedas manis ni, tak terkira dah berapa banyak dia makan. Amniy juga begitu.


Cawan comel utk terap donat dan buku benang utk buat lubang tengah
Selamat mencuba.... :-)

Kek Karamel seperti dalam WHI

Ini kali ke-4 saya buat kek karamel. Mesti ada yang boring pasal nampak entry kek karamel lagi dalam blog saya. Hahaha... suka hati saya la. Syok dapat buat kek ni! Puas hati...

Ini hasil ke-2 saya... baru nak tayang. 
Saya buat ni sehari selepas saya buat kek karamel pertama saya

Nak tayang hasil ke-3, tak sempat. Sebab dah selamat masuk perut. Hasil ke-3 saya buat bulan lepas jugak sebab belum jemu2 nak makan kek karamel. Terutamanya anak ke-2 saya. Cukup gemar dengan kek ni.

Pagi tadi, saya bancuh lagi kek ni. Sebab teringin sangat. Rasa lama benar tak membuatnya. Padahal baru bulan lepas buat. 3 kali lagi..... Dah selesai buat, masuk dalam peti ais. Kebetulan puasa siang tadi, so, tak sempat la nak merasa lagi. Simpan niat nak makan untuk desert berbuka nanti. 

Tengahari tadi, sambil baring2 depan TV, menonton Wanita Hari Ini di TV3. Ada pulak demo orang buat kek karamel ni. Dalam hati, "Baru je buat pagi tadi. Masih dok dalam peti ais lagi." :-) Tapi, yang tak bestnya, demo tak semenggah. Tak semua step ditunjukkan bagaimana cara buat kek ini. Kesian mereka yang tiada talian internet. Kang tak pasal2 ikut step yang ditunjukkan dalam WHI, kek karamel jadi bengkang karamel pulak! Jahat saya ni, kan? Tak sayang jari.... menaip sesuka hati. Ini hanya pendapat saya! Jangan saman saya ok! Saya cuma soerang blogger sempoi, bukan jutawan!

Saya masuk ke page FB WHI, dah ada tepek resepi. Wah... rasa teruja pulak nak join sembang2 kawan2 di nota WHI. Ada juga beri tip dan pendapat dan tak kurang ramai yang tak pernah buat, dan mahu mencuba bagaimana rasa kek karamel ini. Saya pun ada la jugak beri sikit pendapat yang tak seberapa... hehe. Nak menyibuk la katakan....

Meh la nak tayang kek karamel ke-4 saya... Hehehe

 Sempat amik gamba selepas diterbalikkan. Cuak juga masa nak terbalikkan kek ni pagi tadi. Walaupun dah buat beberapa kali, hati tetap berdebar ketika nak terbalikkannya. Paling risau kalau lapisan susu tak menjadi. Tapi, bila tengok hasilnya menjadi, lapisan susunya pun terletak elok jer..... syukur sangat.

 Saya sukakan lapisan susu yang terletak cantik tu. Nak komen sikit la... jangan marah ye. Kalau kat WHI tengahari tadi, lapisan susu kek karamel mereka amat nipis. Kenapa ye? Jimat yer....

Kek karamel yang dah potong..... saya sukakan belang pada kek ini. Kalau pandai buat belang, lagi cantik kek ni jadinya. Saya ni, masih amatur.... masih belum berapa nak menjadi belangnya. Cumanya, sebab kek ni terlampau lembut dan ringan, jadi potongan saya tu tak berapa nak kemas...... Ke macam mana ye? Ada tips tak?

Dah ready untuk dingap..... buka puasa Maghrib tadi, jamah kek ini dulu selepas makan buah kurma dan air putih. Nikmatnya.... Allah je yang tahu. Dah la sejuk, rasa nyaman je bila kek ni lalu di keringkong.

Ok, nasihat saya pada mereka yang teringin sangat nak mencuba membuat kek ini, anda perlu kuasai beberapa teknik. Salah satunya teknik membuat meringue dan teknik kaup balik utk mencampurkan putih telur meringue (bahan D) dengan bahan C. Kalau menjadi teknik2 tersebut, insya Allah kek anda akan menjadi dengan baik.

Untuk resepi lanjut dalam blog ini klik KEK KARAMEL
Sekali terima kasih kak sue, kerana banyak beri tunjuk ajar pada Fiza.

Friday, July 15, 2011

Bubur Nasi Ayam

Baru dapat update apa yang dimasak. Masak simple sangat sebab anak2 demam. Anak kedua pulak perut tak berapa selesa, jadi saya pun masakkan bubur. Sekali dah siap, makan... wah, rasa iras2 bubur ayam McD la pulak! Hehehe... malah lebih sedap dari McD punya! Sesuai la untuk anak2 yang tengah demam dan tak berselera nak makan tu.....


Bahan-bahan:
1 1/2 cawan beras - dibasuh bersih
3 ketul ayam - dipotong kecil
1/2 ketul kiub ayam
1/2 inci halia - diketuk
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 cawan santan
Air secukupnya
Bahan perasa (garam dan gula)

Bahan hiasan:
Daun bawang
Hirisan ayam Goreng

Cara membuatnya:
- Masukkan sedikit minyak ke dalam periuk, dan tumis ketulan ayam bersama halia, kulit kayu manis dan bunga lawang. Kacau rata, dan tambahkan air serta kiub ayam. Masukkan beras. Biarkan ia mendidih sehingga beras menjadi kembang. Kemudian, masukkan santan, dan biarkan ia masak sebati. Sesekali kacau ia. Perasakan dengan garam dan sedikit gula.

- Selesai masak, hidangkan ia bersama hirisan daun bawang dan hirisan ayam goreng.


Ingatkan nak buat untuk orang demam dan sakit perut, tapi rupa2nya tukang masak yang lebih2 makan.... saya suka bubur nasi. Mudah hadam!


Kalau boring makan nasi hari2, bubur nasi memang menjadi pilihan. Selamat mencuba!

Wednesday, July 13, 2011

Telur Itik Masak Lemak Cekur

Sempat lagi masak telur itik untuk hidangan tengahari tadi. Susah dapat telur itik ni, melainkan kena order dengan sahabat suami. Kalau ada pun agak mahal harganya. Bila beli dengan kawan2 ni, dapatlah harga murah sikit.

Mari lihat bagaimana memasak telur itik ini.


Bahan-bahan:
6 biji telur itik - dibasuh bersih
*4 ulas bawang merah
*3 ulas bawang putih
*8 biji cili padi - terpulang kalau nak lebih pedas, boleh tambah lagi.
*5 ketul ubi cekur
1 1/2  peket santan serbuk - bancuh dengan air
sedikit kunyit serbuk
10 helai daun cekur - dihiris halus
4 helai daun limau purut
Garam dan gula sebagai perasa

Cara-cara membuatnya:
- Panaskan sedikit air dalam periuk / kuali. Sementara itu, tumbuk halus semua bahan yang bertanda *. Bila air sudah mendidih, masukkan bahan yang ditumbuk tadi. Biarkan ia masak sehingga betul2 mendidih. Jangan lupa tambahkan serbuk kunyit sebagai pewarna, kacau.

- Masukkan santan, dan kacau sentiasa supaya santan tidak pecah minyak. Masukkan daun limau purut, garam dan sedikit gula.

- Dalam kuali / periuk yang lain, didihkan air. Pecahkan telur itik satu persatu sehingga ia masak. Apabila telur sudah masak, angkat telur dan toskan air rebusan, kemudian masukkan telur ke dalam kuah bersantan tadi. Boleh juga kalau mahu pecahkan terus telur ke dalam kuah tadi. Tapi, harus berjaga2 kerana kalau kerap sangat dikacau, telur mudah pecah. Jadi jalan penyelesaian, rebus dulu telur dalam periuk lain, dan baru masukkan telur ke dalam kuah.

- Setelah semuanya sebati, tutup api. Dan hidangkan bersama nasi panas, buah durian dan ulam-ulaman.

Saya suka hirisan daun cekur yang banyak... sedap sangat!

Selamat mencuba!

Kek Marble Susu ::(versi bakar)::

Saya jadi migrain kalau tak membaking. Hari ni, saya kena juga membaking. Pagi tadi, tengah godek2 internet, tiba2 internet terputus. Saya check apa yang tak kena, tengok2 telefon saya tak bernyawa. Sah! Problem dengan line kawasan. Memang selalu jadi macam ni. Bila dah tak boleh online tu, belek2 buku resepi konvensional saya yang dah lusuh tu. Kek apa lagi yang saya tak buat secara kaedah membakar? Haaa.... dapat idea. Terus masuk dapur, sukat itu ini.

Dah 4 kali buat kek ni secara kukus. Resepi asal memang kena bakar pun, tapi memandangkan sebelum ni saya tiada oven yang sesuai, maka saya telah ubah suai sikit resepi untuk dikukus. Silalah ye, kalau nak tengok resepi yang kukus punya, boleh klik SINI.


Kek Marble Susu (versi bakar)

Ok, saya sharekan resepi untuk kaedah bakar pula.

Bahan-bahan :
250 gm mentega ( saya guna marjerin je, mentega habis!)
150 gm gula perang ( boleh gantikan dengan gula pasir halus. Gula perang tu dikisar supaya halus)
2 sdt ovellate
4 biji telur (Gred AA)
225 gm tepung gandum
1 sdt baking powder
60 gm susu pekat manis
2 sdb serbuk koko - diayak
2 sdb susu cair
1 sdt cappucino emulco (nak guna coklat emulco pun boleh)
130 ml susu cair

Cara-cara membuatnya :
~ Pukul mentega, ovallete dan gula sehingga kembang dan putih.

~ Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil terus memukul sehingga kembang dan berkrim.

~ Masukkan pula susu pekat dan gaul rata.

~ Perlahankan kelajuan mixer, masukkan tepung yang telah diayak bersama baking powder sedikit demi   sedikit. Gaul rata.

~ Tambahkan susu cair (130 ml ) ke dalam adunan, dan gaul sehingga sebati.

~ Bahagikan adunan kepada 2 bahagian, (setiap bahagian beratnya 550 gm):
   1. biarkan pada warna asal
   2. dicampurkan dengan susu cair ( 2 sdb), serbuk koko dan cappucino emulco. Gaul rata.

~ Tuang secara berselang seli antara adunan tanpa warna dengan adunan berwarna dalam loyang yang telah digriskan dan dialas dengan kertas surih. (Saya hanya sapukan marjerin pada loyang dan taburkan sedikit tepung). Hentak2kan loyang yang telah berisi adunan dengan lembut supaya adunan rata.

~ Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175 darjah celcius selama 60 minit, atau sehingga masak.

~ Nak tahu kek sudah masak, cucuk dengan lidi di bahagian tengah2 kek. Kalau lidi bersih bermakna kek sudah masak.

 Belum potong... baru keluar oven. 
Saya masih gagal mengawal api atas menyebabkan bahagian atas kek tak sekata warnanya....

 Tapi, bila dah potong.... mmmmm, lembapnya kek ni!

Memang sedap kek ni. Saya rasa lagi sedap versi bakar punya la.
Tapi, bergantung citarasa masing2, kalau suka kukus, silakan....

Tips me'marble'kan kek, boleh ke SINI.

Tuesday, July 12, 2011

Asam Pedas Ikan Patin

Masakan kedua saya untuk hari ini, ialah ikan patin. Minggu lepas, suami saya memancing dan bawa balik ikan patin. 4 ekor tu... tapi, tak la besar mana. Sedang2 jer..... Salah satu masakan kegemaran kami sekeluarga ialah masak asam pedas.


Bahan-bahan:
Seekor ikan patin - dibersihkan dan dipotong
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia - diketuk
1 sdt halba
2 batang serai - diketuk
4 sdb cili boh
2 sdb asam jawa Adabi
Air secukupnya
2 ikat daun kesum
2 kuntum bunga kantan - dibelah dua
Garam dan gula sebagai perasa

Cara-cara:
~ Tumbuk bawang besar dan bawang putih hingga lumat. Tumiskan ia dalam minyak yang sedikit sehingga naik bau. Masukkan halia, halba, cili boh dan asam jawa. Kacau jangan bagi hangus.

~ Bila dah naik bau, masukkan serai dan air sebagai kuah. Masukkan pula daun kesum dan bunga kantan. Biarkan ia mendidih seketika.

~ Air sudah mendidih, masukkan ikan patin yang telah dipotong tadi. Dan perasakan dengan garam dan sedikit gula. Bila dah cukup rasa masam, masin dan sedikit manis dan kuah pun dah menggelegak sedikit, padam api. Isi ikan akan menjadi keras apabila kita membiarkan kuah mendidih terlalu lama.

~ Siap untuk dihidang bersama nasi dan makan sekali dengan buah durian. Nikmatnya...... tidak terkira!


Selamat mencuba!

Donat (II)

4 hari saya tak update halaman ini. Sibuk hujung minggu lalu, saya balik kampung, adik saya bertunang. Dan bila balik sini, PIL dan BIL pula datang. Jadi, demi menghormati mereka, saya limitkan masa saya berinternet.

Anak kedua saya demam, teringin betul makan donat. Sian dia.... Saya memang dah lama tak menguli donat. Dulu2 ada lagi jugak, guna resepi MIL. Boleh rujuk sini kalau nak tengok resepi yang MIL saya ajar. 

Satu hal kenapa saya dah lama tak menguli donat, sebab saya sedang berdiet. Hehehe.... maklum kan, donat makanan yang kurang sihat. Jadi saya perlu limitkan membuat donat. Tapi, demi permintaan anak, buat jugak la. :-)

Kali ni, saya gunakan cara sendiri je. Pertamanya sebab kehabisan yis basah, terpaksa guna yis kering (yang mauripan tu la). Saya pernah buat dulu dengan menggunakan yis kering ni, tapi tah di mana silapnya, donat saya tak naik dan jadi keras kematu. Tu yang tak nak guna yis kering. Tapi, kali ni, saya try buat lagi guna yis kering... Alhamdulillah, menjadi juga lembutnya.


Bahan-bahan:
  • 300 gm tepung gandum
  • 2 sdt yis kering
  • 1 sdt garam halus
  • 3 sdb susu pekat
  • 1/4 cawan minyak jagung (nak guna minyak masak biasa pun boleh, nak guna marjerin pun boleh. Kalau guna marjerin donat akan jadi lebih lembut dan macam ada kentang gitu. Saya tak guna marjerin utk kali ni sebab saja nak try guna minyak jagung. Kalau nak guna marjerin, sukatannya gunakan lebih kurang 2 sdb marjerin. Tak perlu dicairkan dulu. Cukup sekadar ramas-ramas manja pada tepung)
  • Air secukupnya
Cara-caranya:
  • Satukan tepung bersama yis dan garam halus. Dan masukkan juga minyak jagung. Gaul rata.
  • Bancuh susu pekat bersama sedikit 200 ml air, dan masukkan sedikit demi sedikit ke dalam bekas yang berisi tepung tadi. Gaul rata. Biar air terlebih sikit, tak mengapa dan gaulkan. Memang bancuhan akan sedikit melekat kat tangan, gaul lagi, letakkan tepung sikit-sikit, sampai bancuhan boleh didoh. 
  • Petua nak bagi donat tu lembut : masa buat doh tu, bancuhan tu jangan terlalu byk tepung. Biarkan ia melekat2 kat tangan tu. Masa ni, kena banyak bermain dengan tepung, ambil tepung tu sikit2 dan terus menguli sehingga boleh diterap dengan mulut cawan.
  • Pastu, terap sikit2 (macam kita nak terap biskut raya tu, tapi tak yah la guna penggelek tepung. Gunakan tangan je. Sebab nak terap sikit je) dan acukan dengan mulut cawan yg kecik. Sebab donat akan membesar..... dah naik sikit, lubangkan tengah (saya gunakan buku benang untuk menghasilkan lubang tengah)
  • Biarkan doh donat lebih kurang 1/2 jam sehingga 1 jam supaya doh akan naik. Kalau gunakan yis basah, masa untuk menunggu donat naik lebih kurang 20-30 minit. Tapi kalau gunakan yis kering, masanya amat panjang sedikit.
  • Goreng donat dalam minyak yang banyak dan panas sehingga keperangan. Angkat dan toskan seketika. 
  • Salutkan gula atau topping kegemaran anda. Ingat! Kalau salut gula, pastikan donat tidak terlalu panas kerana akan menyebabkan gula menjadi cair. Biarkan donat dalam keadaan suam2 gitu. :-)


Selamat mencuba la ye, kepada yang teringin buat donat sendiri.... :-)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...